Juga diringkaskan sebagai ‘LOC’ atau ‘LC’, Surat Kredit adalah dokumen dari bank atau institusi kewangan komersial yang memberi jaminan bahawa penjual akan menerima bayaran dari pembeli pada masa yang ditetapkan dan pada amaun keseluruhannya. Sekiranya obligasi ini tidak dilaksanakan, bank yang menerbitkan dokumen tersebut bagi pemohon akan membayar baki atau jumlah keseluruhan kepada benefisiari.
Surat Kredit sering digunakan dalam industri perdagangan antarabangsa kerana undang-undang yang berlainan dalam setiap negara serta mereka yang menjalankan urus niaga selalunya tidak saling mengenali. Oleh itu, sebelum menerbitkan LC, bank atau institusi kewangan akan menilai kedudukan kewangan pemohon untuk menentukan sama ada klien mempunyai kepercayaan kredit yang mewajarkan risiko yang diambil berhubung dengan kemampuan pemohon untuk membuat bayaran. Ada kalanya bank atau institusi kewangan akan mempertimbangkan untuk mengambil jaminan untuk mengurangkan kerugian yang mungkin berlaku.
Apabila digunakan oleh bank atau institusi kewangan Islam, LC tidak dianggap sebagai jaminan tetapi sebagai perkhidmatan berasaskan fi untuk memudahkan perdagangan. LC tersebut mestilah patuh Syariah berdasarkan Wakalah, Murabaha atau Musharakah.